Tok Pa Umum Keluar UMNO, Alasan Diberikan Sudah Boleh Diagak

Terkini bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan keluar dari parti Umno.

Bagaimanapun keputusan mengejut anggota parlimen Jeli itu dibuat selepas beliau dipilih sebagai anggota majlis tertinggi Umno dengan menerima jumlah undi paling banyak semasa pemilihan parti tersebut Jun lalu.

Justeru ini bermakna bilangan anggota parlimen Umno kini tinggal seramai 50 orang iaitu jumlah yang sama dengan anggota parlimen PKR.

Dalam kenyataannya Mustapa  berkata, beliau mengambil keputusan itu selepas membuat beberapa pemerhatian terhadap lanskap politik negara, hala tuju Umno  dan BN serta masa depan negara.

” Jika berdasarkan kepada beberapa perkembangan mutakhir ini, saya berpandangan usaha-usaha ke arah memulihkan defisit kepercayaan serta imej parti semakin sukar.

” Malah tidak ada tanda-tanda bahawa majoriti rakyat berbilang bangsa dan agama akan kembali meyakini perjuangan parti ini,” jelasnya yang lebih mesra dikenali sebagai Tok Pa itu.

Tambah Mustapa, beliau berpendapat Umno selaku peneraju BN tidak boleh bergantung kepada sokongan orang Melayu dan Bumiputera semata-mata untuk kekal relevan.

” Selain itu secara prinsipnya, pendirian politik saya merupakan Umno harus menjadi sebuah parti yang inklusif, moderat dan berhaluan tengah.

” Parti Umno mesti terus memperjuangkan kepentingan Bumiputera dan Islam, namun tidak sesekali mengenepikan kepentingan kaum dan agama lain.

” Justeru saya percaya bahawa inilah jalan terbaik dalam kerangka negara Malaysia yang majmuk,” katanya.

Namun Mustapa memberitahu, hala tuju Umno pada masa ini tidak lagi selari dengan prinsip politik yang menjadi pegangan beliau selama ini.

” Jadi atas dasar inilah, setelah bermuhasabah dan memikirkan sedalamnya, saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai ahli Umno selepas lebih 40 tahun berkhidmat untuk parti ini.

” Apapun saya ingin mengucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat dari Jeli, Kelantan dan seluruh negara yang sering membantu sepanjang saya berkhidmat untuk Umno, dari kepimpinan parti sehinggalah akar umbi.

” Dan Insya-Allah saya akan terus menyumbang buah fikiran ke arah membangunkan sebuah negara Malaysia yang terbilang,” ujarnya.

Untuk rekod Umno memenangi 54 kerusi parlimen pada pilihan raya umum ke-14, bagaimanapun empat anggota parlimen mengumumkan keluar parti.

Selain Mustapa tiga lagi adalah anggota Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin, Anggota Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Anggota Parlimen Bagan Serai Noor Azmi Ghazali.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih. Lubok Viral

Sumber: malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *