SPRM serbu kediaman Musa, rampas fail

KOTA KINABALU: Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu rumah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman dan merampas beberapa fail.Sumber SPRM berkata, sebuah pasukan penyiasat pergi ke kediamannya di Luyang di sini pada petang Rabu bagi membantu siasatan kes rasuah.

Namun sumber mengesahkan hanya fail yang diambil semasa serbuan itu.

Sumber enggan mendedahkan sama ada serbuan itu adalah sebahagian daripada siasatan ke atas dakwaan ‘pembelian’ wakil rakyat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu, meletakkan BN dan Parti Warisan Sabah masing-masing terikat 29 kerusi daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Namun Musa hilang sokongan majoriti selepas enam wakil rakyat dari parti komponen BN, Parti Upko dan Umno Sabah menyokong Warisan dan sekutu parti itu, DAP dan PKR di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Shafie Apdal mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah pada 12 Mei lalu.

SPRM dilaporkan sedang meneliti dakwaan RM20 juta digunakan bagi mendapatkan sokongan BN untuk membentuk kerajaan di negeri itu.

Pada awal minggu ini, pegawai SPRM merampas sejumlah RM80,000 wang tunai dan kad bank semasa serbuan di rumah dan pejabat milik Dr Jeffrey Keningau di sini.

Mereka juga merekodkan kenyataan Dr Jeffrey dan pegawai partinya.

Dr Jeffrey memberitahu pemberita bahawa ia bermotivasikan politik dan meminta SPRM untuk menyiasat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN yang lompat parti menyertai Warisan.

Sementara itu, polis Sabah dijangka melengkapkan siasatan ke atas dakwaan jenayah intimidasi terhadap Yang di-Pertua Negeri sebaik sahaja mereka mendapatkan kenyataan daripada Musa.

Sembilan individu sudah diambil keterangan sejak siasatan dimulakan pada 14 Mei lalu susulan laporan polis oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Jugar Mahiruddin, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din.

Sumber: Mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *