Perkahwinan bawah umur selesai isu sosial adalah pandangan dangkal

Hujah yang mendakwa isu gejala sosial boleh diselesai menerusi perkahwinan termasuk bawah umur merupakan pandangan dangkal. Ini kerana, menurut Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin, had umur perkahwinan tiada kena mengena dengan masalah moral sebaliknya, hanya melalui pendidikan masalah sedemikian dapat diatasi.

“Ada yang mengatakan perkahwinan bawah umur ini akan mengelakkan isu-isu gejala sosial. Saya rasa itu adalah kenyataan yang paling dangkal sekali.”

“Kalau kita lihat dari dulu lagi budaya perkahwinan bawah umur ini dibenarkan, adakah masalah sosial selesai? Tidak. Masalah sosial hanya akan selesai dengan pendidikan, bukan perkahwinan.”

“Saya tidak terkejut dengan pandangan yang dikeluarkan sesetengah pihak kerana ini adalah pandangan lama atau aliran lama yang dibawa untuk mempertahankan amalan ini,” katanya semasa menjadi pendebat dalam acara Debat AWANI edisi Siri Debat Awam IIUM Re:Action-Youth Engaged yang berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada Rabu.”

Dr Afif turut memberitahu, adalah suatu yang ironi seandainya kanak-kanak di bawah umur dibenarkan berkahwin, tetapi dalam masa golongan sedemikian tidak dibenarkan menandatangani surat kebenaran untuk menjalani pembedahan. Hmmmm

“Kalau berlaku seorang anak perempuan berumur 16 tahun pergi ke hospital kerana kakinya patah dan memerlukan pembedahan”, kata beliau.

“Dia perlu menandatangani surat kebenaran untuk menjalani pembedahan, tetapi sebagai seorang ‘minor’ yang berumur 16 tahun, dia tidak boleh menandatangani surat tersebut kerana tidak dianggap mencapai usia matang.”

“Maka ia agak ironi jika kita membenarkan mereka untuk berkahwin tetapi kalau kakinya patah, dia tidak boleh tandatangani surat kebenaran itu sendiri,” tambahnya pula.

Senario itu, tegas beliau, jelas menunjukkan kanak-kanak di bawah umur belum cukup matang lagi untuk membuat keputusannya sendiri apatah lagi untuk dikahwinkan.

Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini dengan jelas dan spesifik telah menerangkan tentang perkahwinan bawah umur atau kahwin muda yang juga ada di zaman Nabi SAW.

Antara petikan penjelasan beliau adalah seperti berikut:

“… Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kesudahan.

Isu seorang kanak-kanak perempuan yang berusia 11 tahun berkahwin dengan seorang lelaki yang berusia 41 tahun telah mendapat liputan hangat di media massa. Menurut data yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada tahun 2016, sebanyak 6268 permohonan perkahwinan bawah umur yang diluluskan oleh mahkamah Syariah di seluruh negara dalam tempoh 2010-2015.  Ramai pengkaji menganggap jumlah ini adalah satu hal yang membimbangkan kerana tiada garis panduan khusus bagi Hakim Syarie untuk mempertimbangkan; sama ada menolak atau meluluskan suatu permohonan perkahwinan bawah umur ini. 

Ramai tokoh politik utama negara, agamawan, cendekiawan, tokoh undang-undang dan lain-lain juga memberi pelbagai pendapat dan hujah sama ada boleh atau tidak dan juga kewajarannya. Hal ini menjadikan seolah-olah perbahasan ini tiada titik penghujungnya. Kepada yang menyokong, maka mereka mendatangkan pelbagai hujah untuk mengharuskan bahkan mewajarkannya. Begitulah sebaliknya, ramai juga yang menentang dengan hujah dan alasan masing-masing. 

Kami mengambil cakna dan prihatin berkaitan isu ini dan sedaya upaya cuba memberikan ulasan menurut perspektif Syarak dengan mengambil kira pelbagai pandangan yang dikemukakan oleh para fuqaha silam dan kontemporari, pakar-pakar perubatan, pengamal undang-undang, serta beberapa tokoh yang lain.

Ini berasaskan sebuah kaedah yang masyhur:

الْحُكْمُ عَلَى الشَّيء فَرْعٌ عَن تَصَوُّرِهِ

Maksudnya : Memberikan hukum ke atas sesuatu perkara adalah cabang dari proses mendapatkan gambaran yang menyeluruh terhadapnya.

Justeru kami merasa terpanggil untuk mengemukakan sebuah jawapan melalui Bayan Linnas pada kali ini yang kami tajukkan Perkahwinan Kanak-Kanak Mengikut Perspektif Syariah. Insya Allah kami cuba mengupas bukan hanya daripada perspektif fiqh yang teknikal sahaja tetapi juga cuba memahami aspek yang lebih kontekstual seperti sosiologi dan undang-undang. 

Kami juga cuba membawa perbahasan isu ini agar tidak terikat kepada mana-mana kes tertentu, sebaliknya cuba memandu perbahasan agar isu ini dikupas secara ilmiah dan rasional dengan melihat pandangan syarak secara keseluruhan di samping mengambil kira soal ‘uruf, timbang tara maslahah, fiqh ma’alaat al-af’aal (implikasi perbuatan pada masa mendatang), dan selainnya.

Semoga pencerahan kali ini memberi manfaat kepada kita semua dan membuka jalan penyelesaian yang terbaik”

Kredit: astroawani, muftiwilayahpersekutuan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *