Ketukan Pintu Dapur Di Waktu Sahur Oleh Tetamu Tidak Diundang Memeranjatkan Keluarga Ini, Walaupun Seram Tetapi Akhirnya Mencuit Hati

Semalam tular kisah seekor tapir sesat di waktu subuh sehingga masuk ke perkarangan rumah seorang penduduk kampung di Bemban, Melaka.

Menurut pemilik akaun fb Mc Sofian, pada ketika itu beliau baru sahaja bersiap-siap untuk bersahur apabila tiba-tiba terdengar bunyi bising diluar pintu rumahnya.

Risau kemungkinan berlaku perkara yang tidak diingini, beliau lantas membuka pintu rumahnya dan hampir sahaja beliau melompat apabila terlihat kelibat Tapir besar sedang mencari makanan sehingga masuk ke dalam pagar rumahnya.

Pada mulanya beliau seakan tidak percaya dengan kelibat haiwan yang dilihatnya, sehingga beliau menyangka ia mungkin jelmaan makhluk halus. Menurutnya lagi, habis segala jampi serapah dibacanya bagi memastikan bahawa ia memang sebenar-benarnya Tapir asli yang sesat.

Pening memikirkan jalan untuk menghalau tapir tersebut, Sofian akhirnya menghubungi PERHILITAN namun dimaklumkan tiada anggota standby yang bertugas pada waktu tersebut.

Namun begitu mujur haiwan tersebut jumpa jalan keluar dan menghilangkan diri didalam semak berhampiran.

Perkongsian di laman fb telah mengundang gurauan rakan-rakanya yang mengatakan bahawa tapir tersebut singgah untuk bersahur bersama beliau. Ada juga yang mencadangkan agar Sofian membela haiwan tersebut sebagai haiwan peliharaan.

Rentetan perkongsian yang menjadi tular itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Melaka berkata, laporan mengenai kehadiran tapir itu diterima pihaknya daripada seorang penduduk kampung.

“Tapir berkenaan dipercayai keluar untuk mencari makanan kerana haiwan liar ini aktif pada waktu malam.

“Anggota sudah ke lokasi tetapi haiwan itu sudah tiada dan dipercayai masuk semula ke kawasan hutan berhampiran,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, sekiranya dalam masa terdekat ini pihaknya masih menerima laporan serta terdapat gangguan daripada haiwan berkenaan, tindakan memasang perangkap akan dibuat.

“Dalam tempoh sehari dua ini kita akan melakukan pemantauan, jika masih terdapat laporan perangkap akan dipasang.

“Sehingga kini, hanya dua laporan diterima PERHILITAN iaitu dua hari lepas di Krubong dan hari ini di Ulu Duyong, manakala tahun lepas pula diterima di Lendu serta Ayer Paabas di Alor Gajah,” katanya.

Mohd Hasdi berkata, tapir yang dilihat berkeliaran di Krubong dan masuk ke pekarangan rumah awal pagi tadi adalah dua haiwan berlainan.

Menurutnya, berdasarkan jarak antara Krubong ke Ulu Duyong iaitu kira-kira 20 kilometer adalah mustahil untuk haiwan berkenaan berjalan sejauh itu dalam tempoh dua hari.

“Sekiranya penduduk atau orang awam ada terserempak dengan tapir di kawasan tempat tinggal boleh menghubungi PERHILITAN dengan segera dan dinasihatkan agar tidak bertindak atau mengapa-apakan haiwan terbabit,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *