Kes itu dah 3 tahun, Intan Najuwa akan beri kerjasama kepada polis

PETALING JAYA: Pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Kekasih Paksa Rela iaitu Intan Najuwa akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis selepas namanya tersenarai sebagai saksi dikehendaki bagi prosiding berkaitan kes dadah.

Intan ketika dihubungi berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan namanya tersenarai sebagai orang dikehendaki polis kerana sudah menerima notis untuk hadir ke mahkamah di Shah Alam.

“Saya sudah menerima notis untuk hadir ke mahkamah dan saya akan beri kerjasama sepenuhnya seperti diminta,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.

Terdahulu, The Star melaporkan tiga saksi termasuk seorang aktres dikehendaki pihak polis.

Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dalam kenyataan media memaklumkan ketiga-tiga mereka dikehendaki hadir ke Mahkamah Shah Alam pada 8 hingga 10 Oktober ini.

Menjelaskan mengenai hal itu Intan berkata, dia tidak terlibat dengan sebarang penyalahgunaan dadah seperti disangka sebaliknya hanya diminta tampil sebagai saksi bagi membantu siasatan polis.

Kata Intan, kes itu sebenarnya sudah lama berlaku iaitu kira-kira tiga tahun lalu namun perbicaraan masih lagi berlangsung.

“Tidak… Saya tidak terlibat dengan penyalahgunaan dadah hanya diminta tampil sebagai saksi sahaja.

“Kalau betul saya ada terlibat dengan salah guna barang terlarang itu, saya mungkin tiada dalam industri sekarang,” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *